Monday, March 14, 2011

Menghadapi Matematik Sijil Tinggi Pelajaran Tahun 1973


Rahsia 07


Tingkatan enam atas sains, 1973
Saya melangkah ke tahun 1973 dengan penuh semangat di dada. Semasa tingkatan enam atas saya sangat sibuk maklumlah hujung tahun ini akan memduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan (STP). Barisan guru yang mengajar kelas saya ialah Cikgu Mahjuddin dari Sulawesi, Indonesia yang mengajar Matematik. Mr.David Rambellow dari USA mengajar Fizik, Mr.Poon dari K.L. ialah guru kelas dan mengajar Kimia. Cikgu Abdullah dari Chenor mengajar Kertas Am, cikgu Kamariah WA dari Temerloh mengajar Bahasa Inggeris dan cikgu Khalil dari Jawa, Indonesia yang mengajar Biologi, tetapi saya tidak ambil Biologi. Setiap hari jam 3.00 petang hingga 5.00 petang saya khaskan mengulangkaji Matematik. Kali ini masa riadah selalu dikorbankan. Saya dahulukan yang lebih penting. Sebelah malam selama tiga jam lagi belajar Fizik dan Kimia. Saya sangat menjaga displin masa.



Gambar kenangan bersama guru-guru yang mengajar dan 26 orang pelajar semasa di tingkatan 6 atas sains 1973. Duduk di hadapan dari kiri ialah cikgu Mahjuddin, cikgu Khalil, Faezah, cikgu Poon, Razak (Ketua Kelas), cikgu Kamariah, cikgu David dan Aris Basri. Saya di baris belakang sekali, paling kanan.

Bisanya terkena percikan api ?
Sungguh tidak disangka dalam kesibukan belajar jiwa remaja saya tergugat juga. Ramai kawan sekelas ada makwe. Kebanyakan makwe mereka ialah pelajar tingkatan empat yang baru masuk. Apa lagi saya tumpang sekakilah. Budak yang saya minat itu putih melepak dan kecil molek. Namanya cukuplah saya panggil K sahaja. Kami hanya ada peluang berbual pada waktu rehat di kantin tetapi tidak boleh lama sebab saya ada tugas pengawas. Kawan-kawan kata saya memang sepadan dengan K. Apa lagi semakin bergeloralah jiwa remaja saya. Terlupa sekejap saya kepada JEJAK MAL yang saya perjuangkan selama ini . Kadang-kadang K ini seperti merpati, susah saya nak membaca perasaannya. Saya perasan K selalu membaca sebuah novel karangan Khatijah Hashim, bertajuk Merpati Putih Terbang Lagi. K kata dia suka baca novel itu. Satu hari saya pinjam novel yang K selalu bawa itu. Saya buka muka pertama novel itu, terus terbaca tulisan tangan di bahagian dalam kulitnya. Kata-kata semangat beserta tanda tangan dan nama terpampang dengan jelasnya. Melihatkan tanda tangan itu saya pasti dia adalah seorang yang matang. Nama penulis itu cukup saya katakan MS. Tergugat juga perasaan saya ketika itu. Satu hari saya memberanikan diri bertanya K siapakah MS itu? Dia kata cikgu Matematiknya semasa tingkatan tiga di sekolah lamanya. Saya sungguh tercabar. Saya tidak puas dengan maklumat itu. Satu hari saya memanggil Zainudin yang sekampung dengan K. Saya suruh dia menyiasat apakah kaitan antara K dan MS itu. Saya memang percaya kepada budak ini sebagai penyiasat peribadi saya. Selepas pulang bercuti Zainudin melapurkan hasil risikannya kepada saya. Din beritahu saya bahawa MS memang menjaga K seperti menatang minyak yang penuh semenjak tingkatan dua lagi. Din kata K macam dah kena pagar oleh MS. Laporan itu sungguh pahit untuk ditelan . Hai tak patut kau MS booking anak murid sendiri. Patutnya berilah peluang dia melihat dunia dahulu. Berdasarkan maklumat itu saya dapat rasakan bahawa laluan saya amat mencabar. Susah juga untuk membuat perhitungan.

Saya mengambil keputusan tidak mahu bertarung dengan MS. Harapan untuk menang memang sangat tipis sebabnya MS sudah lulus maktab perguruan dan sudah ada kerja tetap pula. Saya hanya dapat biasiswa aja mana boleh belanja orang. Saya boleh agak K akan memihak kepada MS. Saya mengelakkan diri daripada bertarung. Undur setapak tidak bermakna saya menyerah kalah. Beberapa hari saya terpaksa layani perasaan yang berkecamuk itu. Rupa-rupanya pedih juga terkena percikan bunga-bunga cinta yang hancur berkecai itu. Nasib baiklah hujung jari sahaja yang melepuh, cepatlah sembuh. Selepas beberapa hari saya kembali tenang dan dapat meneruskan semula usaha memburu kejayaan dalam pelajaran terutama Matematik. Saya sudah serik, berjanji tidak mahu mengulanginya lagi. Saya mahu bereskan pelajaran hingga tamat universiti dahulu. Syukur, saya berjaya kembali ke landasan asal. Ini adalah berkat doa emak dan ayah agaknya.


Aku mampu membetulkan haluan
Apabila cikgu Mahjuddin mengajar Matematik saya boleh faham semuanya sebab saya telah tahu serba sedikit perkara yang diterangkannya. Saya telah membuat persediaan awal dan telah menjawab beberapa latihan yang mudah sebelum pengajarannya. Pengajaran cikgu memperkukuhkan kefahaman saya. Selalu cikgu suruh saya jawab di papan hitam. Itulah saat yang saya tunggu. Semuanya dapat saya selesaikan. Ramai juga kawan yang bertanya soalan, semua dapat saya terangkan. Sebenarnya inilah strategi pembelajaran yang paling berkesan.

 Buat persediaan awal.
 Beri tumpuan kepada pengajaran guru.
 Cuba jawab jika diminta berbuat demikian.
 Bantu kawan yang memerlukan.
Selalu juga cikgu Mahjuddin belanja saya pada waktu rehat. Bolehlah saya minum air tea panas dan makan nasi lemak. Pada masa itu siapa yang dapat minum tea dikira hebatlah. Biasanya cikgu sahaja yang minum air itu. Nampaknya saya telah ada kerja sambilan. Saya akan menerangkan di hadapan bersungguh-sungguh terutama jika waktu Matematik sebelum rehat. Memang perangkap saya sering mengena. Saya agak cikgu Mahjuddin mula perasan apa yang saya harapkan.

Pembelajaran kini kurang bermasalah sebab dapat biasiswa Pra Universiti daripada Kementerian Pelajaran sebanyak RM55 sebulan. Pada waktu itu RM55 sudah sangat besar. Pelajar aliran sastera dapat RM45 sahaja. Saya membeli minyak ikan sebagai makanan tambahan untuk meransang minda. Memakan minyak ikan bagus untuk kecerdasan otak. Saya mendapat cerita ini daripada Othman Putih, pelajar enam atas tahun lepas. Saya selalu lihat dia makan minyak ikan itu. Yang menghairankan pelajarannya tidaklah menyerlah. Tidak apa, saya akan cuba. Saya menghabiskan satu botol sebulan. Masa hendak telan minyak ikan itu saya kena tutup hidung kerana baunya hanyir. Oleh sebab hendak cerdik maka saya telan juga.

Semua tajuk geometri seperti bulatan, parabola, hipabola dan illip saya dapat kuasai sepenuhnya. Saya sangat suka menyelesaikan soalan trigonometri terutama yang melibatkan pembuktian. Saya memahami semua formula trigonometri yang sangat banyak itu. Saya juga mahir dalam tajuk-tajuk pembezaan, pengkamiran, polinomial, teorem baki, teorem faktor, log dan kebarangkalian. Saya juga seronok mengkaji tajuk-tajuk Kaji daya ( Mekanik ) sebab ceritanya tentang objek yang nampak dan boleh dibayangkan. Kaji Daya dipecahkan kepada Statik dan Dinamik. Tajuk Statik sangat mudah difahami jika faham konsep keseimbangan daya pada satu titik. Tajuk Dinamik agak mencabar sedikit. Apabila menjawab soalan, formula yang sesuai terus sahaja datang seperti air mengalir tanpa tersekat-sekat. Inilah berkat usaha tanpa jemu hampir dua tahun. Diringkaskan cerita semasa peperiksaan percubaan STP bagi mata pelajaran Matematik saya memperolehi 76% bagi kertas 1 dan 77% bagi kertas 2.

Selepas peperiksaan percubaan saya masih membaiki kelemahan yang masih ada. Saya telitikan jawapan yang salah semasa peperiksaan percubaan itu. Saya cuba dapatkan jawapan yang betul. Saya mengamalkan Prinsip JSB . Saya mesti menyemak jawapan yang saya perolehi dengan jawapan sebenar yang tercatat di bahagian belakang buku teks. Jika jawapan yang saya perolehi itu salah, saya mesti menjawab semula dengan cara menyemak setiap langkah penyelesaian. Kerap kali saya berjaya mengesan kesilapan hingga berjaya memperolehi jawapan yang betul. Ada kalanya saya terpaksa merujuk kepada cikgu Mahjuddin. Kini pengetahuan saya sudah cukup mantap. Saya berasa yakin untuk menduduki peperiksaan yang sebenarnya. Semasa peperiksaan STP yang sebenarnya, bagi mata pelajaran Matematik Kertas 1 yang mengandungi 11 soalan itu, calon mesti menjawab mana-mana 8 soalan. Saya berjaya menjawab soalan 1 hingga soalan 8 tanpa henti. Saya yakin jawapan saya betul, oleh itu tidak perlu membaca soalan nombor 9 hingga 11. Saya masih ada masa untuk menyemak jawapan yang saya tulis itu. Bagi Kertas 2 pula saya berjaya jawab 5 soalan dari Bahagian A dan 2 soalan dari Bahagian B. Ada beberapa pecahan soalan Bahagian A itu agak ragu jawapannya terutama soalan berkaiatan dinamik. Secara keseluruhan-nya saya merasa sangat berpuas hati dengan kemampuan saya menjawab soalan Matematik STP tahun 1973 itu. Soalannya lebih mudah dari soalan percubaan.

Hari yang paling gembira
Tanggal 31 Mac 1974 adalah hari yang sangat mendebarkan. Hari itu keputusan STP diumumkan. Saya sampai ke sekolah tengah hari tetapi tidak nampak rakan-rakan lain yang datang. Saya ada terdengar cerita pagi itu mengatakan keputusan STP tahun lepas merosot terutama aliran sastera, akan tetapi katanya ada seorang pelajar kelas sains yang dapat sijil penuh. Saya congak punya congak budak kelas sains itu kemungkinan besar antara saya atau Prof Jam sahaja, yang lain tidak nampak bakat. Apabila sampai sahaja ke pejabat sekolah terus sahaja cikgu-cikgu mengucapkan tahniah kepada saya. Saya tergamam melihat keputusan STP. Syukur saya lulus sijil penuh. Matematik pula jelas tercatat prinsipal A, Kertas 1 dapat gred 1 dan Kertas 2 dapat gred 2. Tidak lama selepas itu saya dipanggil masuk ke bilik pengetua. Tuan Pengetua SMART mengucapkan tahniah kepada saya. Beliau kata saya adalah pelajar aliran sains yang pertama sekali di sekolah ini dalam masa tiga tahun yang berjaya mendapat sijil penuh. Oh bangganya dengar kenyataan itu. Tuan Pengetua tanya bagaimana saya belajar hingga lulus semua pelajaran Fizik, Kimia, Matematik dan Kertas Am? Beliau seterusnya tanya apakah petua hendak jadi cemerlang dalam mata pelajaran Matematik. Selepas berbual-bual dengan Pengetua saya pun mohon keluar.

Aku pilih menara gading
Di luar bilik Pengetua saya nampak seorang pelajar perempuan yang sedang menghala ke arah lain. Tiba-tiba dia berpaling ke arah saya. Saya terkejut, dia adalah K. K mengucapkan tahniah kepada saya. Dia adalah pelajar pertama yang mengucapkan tahniah kepada saya. Saya nampak dia sungguh gembira. Saya mengucapkan terima kasih atas ucapan tahniahnya. Kami tidak sempat berbual panjang kerana cikgu Khalil datang menghampiri saya. Hai cikgu Khalil kacau daun pula. Saya terpaksa tinggalkan K sebab cikgu Khalil mengajak saya pergi ke kelas Tingkatan Enam Atas Sains. Dia meminta saya beri nasihat dan ceritakan pengalaman kepada pelajar tingkatan enam atas. Semasa berhadapan dengan pelajar-pelajar itu, saya ternampak Mohamed Maidin budak Temerloh. Dia sangat minat Matematik. Saya harap dia ikut jejak langkah saya. Saya nampak juga budak perempuan yang ketawakan saya semasa saya ditangkap oleh pengetua dua tahun lalu. Waktu itu saya rasa nak cungkil matanya, tapi kali ini saya biarkan mereka pandang saya sepuas-puasnya. Sekarang ini saya nampak mereka senyum aja. Hari ini tertebus sudah segala kekecewaan lalu.

Bila keluar dari kelas enam atas ramai yang mengerumuni saya. Mereka semua kelihatan gembira dan mengucapkan tahniah kepada saya. Hari itu saya jadi hero, semua orang tumpang gembira, oh seronoknya. Saya ingat lagi, Mohamad Maidin dan rakan-rakannya menghantar saya ke perhentian bas di luar pagar sekolah. Mereka menunggu hingga saya menaiki bas. Satu penghormatan spontan kepada saya daripada mereka. Kejayaan saya telah membakar semangat mereka.

Saya mahu pulang segera ke kampung hendak beri tahu khabar gembira ini kepada emak, ayah, abang Long , adik-adik dan saudara mara. Saya tersenyum sendiri membayangkan emak tentu akan gembira sekali lagi mendengar saya dapat gred A dalam mata pelajaran Matematik.

Saya masih ingat lagi sewaktu perjalanan pulang ke rumah. Untuk sampai ke rumah mesti berjalan kaki melalui rumah Ayah Talib. Ayah Talib ialah ayah kepada Mat Pilus, kawan yang bawa radio masa kerja bertukang rumah di Chenor dahulu. Saya nampak ayah dan bebarapa orang rakannya berada di bumbung rumah Ayah Talib. Mereka sedang mengganti atap rumah. Itulah pekerjaan ayah. Pagi menorah getah dan sebelah petang bertukang rumah. Saya sedar ayah memang kuat kerja. Malah kerja yang tidak tentu hasilnya seperti memancing ikan dan menyuluh di hutan memang tidak pernah saya nampak. Sebab itulah agaknya saya juga tidak suka memancing. Saya terus memanggil ayah supaya turun. Nampaknya ayah bergegas turun. Saya terus ceritakan kepadanya bahawa saya lulus sijil penuh dan Matematik dapat gred A. Saya nampak kegembiraan di wajah ayah. Bukan senang ayah hendak menunjukkan muka yang gembira. Dia adalah seorang yang sangat serius. Saya masih ingat lagi malam itu beberapa ekor ayam dalam reban menjadi korban. Adik-adik saya tumpang gembira malam itu kerana kami semua makan nasi lauk ayam kampung. Waktu itu bukan senang nak dapat makan daging ayam kampung. Semasa menghadapi hidangan itu saya nampak Mamat, Di dan Sohak sungguh berselera sekali maklumlah mereka sedang membesar. Isa dan Harun masih belum sekolah, mereka makan hidang lain. Mereka tidak tahu apa sebab dapat makan nasi lauk ayam malam itu.

Emak gembira lagi
Saya Berjaya berikan satu hadiah istemewa untuk emak. Emak pula sangat gembira bila saya ceritakan bahawa saya lulus sijil penuh STP dan memperolehi gred A dalam mata pelajaran Matematik. Saya masih dapat membayangkan wajah emak yang riang sewaktu mendengar berita gembira itu. Kasihan emak kerana tidak berpeluang bersekolah. Emak hanya belajar di Kelas Dewasa. Kalau emak berpeluang sekolah tentu emak pandai Matematik sebabnya emak selalu mengajar saya menulis angka sebelum masuk darjah satu.

Saya masih menyimpan kertas jawapan peperiksaan semasa di tingkatan enam. Berikut adalah beberapa kertas jawapan Matematik. {Kertas 1 – percubaan STP berjaya dapat 76%}



Kertas jawapan Matematik. {Kertas 2 – percubaan STP berjaya dapat 77%}



Salinan Sijil Tinggi Persekolahan


Aku bergelar mahasiswa universiti
Saya tunjukkan borang Unit Pusat Universiti kepada ayah. Saya katakan kepada ayah bahawa saya mahu mohon jurusan ijazah kejuruteraan awam kerana kelulusan saya layak memohon jurusan itu. Ayah pula suruh saya jadi guru. Kalau guru elok ambil kursus ijazah sains dan diploma pendidikan. Selepas kami berbincang, saya bersetuju dengan cadangan ayah itu. Pertengahan bulan Mei 1974 saya menerima tawaran mengikuti kursus ijazah sains di Universiti Kebangsaan Malaysia. Saya sungguh gembira mendapat tawaran masuk universiti. Saya adalah orang ketiga dari kampung Pesagi berjaya masuk universiti. Orang yang pertama ialah abang Kholil mengikuti kursus ijazah sastera di UM, kedua ialah Eda Mamat mengikuti ijazah sastera di UM juga.

Tanggal 19 Mei 1974 (Ahad), saya dan ayah pergi ke Kuala Lumpur. Kami menaiki bas ekspres Temerloh-Kuala Lumpur. Perjalanan ke KL sungguh jauh dan menyeksakan. Jalannya berliku-liku merentas banjaran Titiwangsa. Di kiri kanan nampak gaung yang curam dan pucuk pokok. Inilah pengalaman pertama saya pergi ke Kuala Lumpur. Kalau tiada peluang masuk universiti entah bilalah agaknya saya berpeluang melihat wajah Kuala Lumpur.
Apabila melalui deretan kedai, saya pun berkata kepada ayah, “Oh kecil aja Kuala Lumpur ya.”
Ayah menjawab, “ini Gombak, Kuala Lumpur di hadapan lagi”.
Saya terpinga-pinga bimbang perbualan kami didengari penumpang lain. Semasa menyusuri jalan Gombak saya tersenyum sendiri dan membayangkan, “ Esok Isnin 20 Mei 1974, aku akan jadi mahasiswa universiti”.
Lebih manis lagi saya membayangkan akan masuk ke dewan kuliah belajar Matematik, Fizik dan Geologi.




Kesimpulan
Saya sedar, sewaktu awal remaja terlalu banyak kerenah dan cabaran yang terpaksa dihadapi. Namun begitu saya dapat mengharungi cabaran untuk berjaya dalam pelajaran terutama untuk memperolehi kecemerlangan dalam mata pelajaran Matematik. Itu semua adalah hasil perancangan dan menggerakkan usaha dengan gigih. Barangkali jalan cerita saya ini sangat sesuai dengan kata-kata berikut;
“Tidak ada yang lebih baik selain daripada
usaha sendiri untuk mengatasi cabaran”.
…Tun Dr. Mahathir bin Mohamed, 31 Ogos 2005.

Sebelum saya mampu berdikari banyak watak yang membantu. Sebelum saya mampu berjalan sendiri banyak tangan yang membimbing saya. Pada saya;
“Guru adalah segala-galanya”.

Akhirnya,
“Semua yang di atas itu tidak mungkin
berlaku tanpa kegighan emak dan ayah”.

2 comments:

  1. salam
    terima kasih atas perkongsian ilmu dan pengalaman. Saya juga mempunyai pengalaman yang hampir sama dalam mempeoleh kecemerlangan matematik tapi tidaklah sebagus tuan guru. Namun sekarang saya merupakan salah seorang pensyarah matematik di Kolej Universiti Islam anatarabangsa Selangor (KUIS) dan sedang menyambung pengajian PhD insyallah dalam bidang pendidika matematik. Saya terpanggil untuk mengubah stail hidup anak melayu yang tidak gemarkan matematik dan ini menyaksikan fenomena keciciran yang tinggi dalam kalangan mereka terutama sewaktu di IPT. exam oriented yg diamalkan sejak di bangku sekolah seolah2 menyekat kreativiti pelajar utk berfikir mencari penyelesaian. Saya ingin menuntut ilmu dan berkongsi pengalaman tuan guru yang lebih senior daripada saya untuk mengatasi masalah ini. Pelbagai pendekatan terbaik sedang saya fikirkan sebagai penyelesaian namun masih dalam pencarian...mohon bantuan.

    ReplyDelete
  2. hebat tu,... 1973 saya baru lahir lee...

    ReplyDelete